Monday, March 16, 2009

Samad Said cabar pemimpin Umno berbahasa Inggeris dalam kempen pilihan raya kecil


ALOR SETAR, 16 Mac (Hrkh) - Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said mencabar pemimpin kerajaan Umno-BN untuk turun berkempen dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi dengan bercakap dalam bahasa Inggeris.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, hasil daripada usaha yang dibuat oleh Gerakan Mansuh Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (GMP) baru-baru ini, tidak mustahil isu ini akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno, yang dijadual akhir Mac ini.

"Dan dalam perhimpunan itu, oleh kerana pemimpin Umno terlalu mengagungkan bahasa Inggeris, adalah lebih baik mereka, dari peringkat atas hingga ke bawah, berbincang dalam bahasa Inggeris," tegas A Samad.

"Dan juga dalam kempen-kempen mereka pada masa akan datang juga, mereka kena gunakan bahasa Inggeris, jangan guna bahasa Melayu. Kalau nak bermesyuarat pun gunalah bahasa Inggeris kerana bahasa dan minda mereka adalah Inggeris," ujar pejuang bahasa itu lagi.

"Apakah hanya untuk mendapat undi dan kuasa, mereka guna bahasa Melayu, tetapi bila dapat kuasa mereka akan membuang bahasa Melayu. Kalau ada kempen-kempen mereka, kita perlu berani jerit kepada mereka, cakaplah bahasa Inggeris," kata A Samad ketika berucap pada program Gema Rakyat, "Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur".

Program tersebut diadakan di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini, malam tadi.

No comments: