Monday, December 19, 2011

SBPA: Cuepacs akan berhimpun di JPA jika sesi temu PM gagal

KUALA LUMPUR — Cuepacs sedang mempertimbangkan perhimpunan ‘protes’ di pekarangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya jika pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Khamis ini berkenaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) tidak menemui penyelesaian.
Perhimpunan itu dirancang untuk diadakan pada 27 Disember.

Presiden Cuepacs Omar Osman berkata, perhimpunan itu bertujuan melahirkan perasaan tidak puas hati kakitangan awam berkenaan pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini.
Rasa tidak puas hati itu dilihat sebagai yang pertama dalam sejarah Cuepacs — sebelum sesuatu sistem saraan baru dikuatkuasakan.

“Tengok dulu, jika pertemuan dengan Perdana Menteri pada 22 Disember ini tidak menemui hasil yang diharapkan, maka kami akan mengadakan perhimpunan selepas mesyuarat majlis kongres pada 27 Disember.

“Mesyuarat majlis am akan membuat pendirian akhir. Kami mahu JPA mendengar rintihan ahli-ahli Cuepacs mengenai SBPA, kita akan berhimpun di Blok C1 (bangunan JPA di Putrajaya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider di akhir perhimpunan dan taklimat bantahan mengenai SBPA kepada sekitar 2,000 ahli jawatankuasa kesatuan gabungan Cuepacs di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.

JPA mengeluarkan pekeliling pelaksanaan SBPA pada 7 Disember lalu bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Perhimpunan dan taklimat hari ini diadakan bagi menerangkan rasa tidak puas hati berkenaan kandungan SBPA.

Cuepacs mahu JPA menangguhkan urusan opsyen SBPA selain membatalkan dasar pemisah, yang salah satu tujuannya ialah menghentikan kakitangan yang gagal memperlihatkan prestasi yang baik.

Dasar pemisah juga akan digunakan untuk seseorang kakitangan awam berhenti kerja dan datang balik kemudian.

Selain itu, badan induk kesatuan sekerja ini juga mahu kerajaan mengkaji semula komponen SBPA dengan mengadakan perundingan bersama pihaknya.

Cuepacs juga mahu kerajaan menjelaskan pelaksanaan perubahan gaji antara tujuh dan 13 peratus ekoran pelaksanaan sistem gaji satu lapis berbanding gaji tiga lapis sekarang.

Malah, ia juga mendakwa proses naik taraf gred-gred di bawah SBPA masih belum selesai.

Cuepacs memutuskan bantahannya ke atas beberapa aspek SBPA ketika mengadakan mesyuarat majlis kongres di Kuala Perlis minggu lalu.

Pada sidang media 7 Oktober lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata SBPA mewujudkan empat hierarki perkhidmatan awam iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

Di bawah SBPA yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini, peruntukan gaji secara ‘single point’ tanpa kenaikan gaji tahunan diberikan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan kenaikan gaji tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi.
SBPA juga menyediakan peruntukan jadual gaji sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

Sekarang mereka berada dalam sistem gaji tiga baris atau tiga lapisan.
Kesemua 1.4 juta kakitangan awam termasuk mereka yang masih di bawah Sistem Saraan Baru (SSB), yang diperkenalkan pada 1991 sebelum digantikan dengan SSM akan diberi opsyen sama ada mahu menerima SBPA ataupun sebaliknya.

Jika mereka memlih untuk kekal dalam SSB dan SSM, mereka akan menikmati sistem saraan lama. -TMI

No comments: