Sunday, May 1, 2011

Berpijak pada bumi nyata

1 MEI — Bagi rakan-rakan seperjuangan yang mengenali pemimpin politik berikut, beliau bukanlah calang-calang pemimpin politik biasa. Riak wajahnya yang sentiasa tenang dan sempat mengukir senyuman walaupun dalam keadaan panas, merupakan kelebihannya.
Keberanian serta kemampuan beliau untuk melontarkan pandangan dan berdiskusi secara rasional walaupun ada kalanya tidak seiring dengan pandangan kerajaan, menjadikan pemimpin ini sasaran mudah pihak-pihak berkepentingan.
Sepanjang kerjaya politik beliau, pelbagai label telah diberikan kepada pemimpin tersebut. Jelas, ia bukan sesuatu yang asing kerana sebagai seorang individu bergelar politikus, ia adalah lumrah kehidupan yang perlu dilalui.

Ada yang memanggil beliau sebagai seorang menteri Kabinet yang promahasiswa. Tak kurang juga yang mengenangkan beliau sebagai seorang pemimpin kerajaan yang tidak mahu Akta Kolej dan Universiti (AUKU) diteruskan bagi memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik.
Dan disebabkan keberanian beliau untuk bersuara dan menyatakan kebenaran berpaksikan kepada hujah-hujah yang rasional, pemimpin terbabit turut dilabel sebagai seorang berfahaman liberal.
Keupayaan dan keberanian Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi melontarkan pandangan dalam isu-isu membabitkan mahasiswa universiti dan politik semasa yang agak berbeda berbanding pandangan arus perdana, menjadikan beliau seorang politikus yang lain daripada yang lain.
Artikel ini bukanlah bertujuan untuk mengangkat bakul Datuk Saifuddin semata-mata tetapi keberanian beliau untuk melontar pandangan sedemikian meskipun ada yang akan melatah, apatah membantah, membuktikan bahawa masih ada pemimpin kerajaan yang dapat melihat sesuatu isu berbangkit dari perspektif yang sederhana. Kerana itulah, penulis percaya Malaysia perlukan lebih ramai pemimpin sedemikian!
Dalam satu kenyataan media hujung minggu lalu, beliau menyeru rakan-rakan seperjuangannya dalam BN untuk tidak menyalahkan pengundi-pengundi yang tidak menyokong BN sebagai tidak bersyukur kepada kerajaan. Kenyataan itu turut memetik Saifuddin sebagai berkata – sebagai pemain demokrasi, parti-parti politik harus menghormati hak pengundi untuk memilih mana-mana parti yang disukai. Kegagalan berbuat demikian hanya akan mengundang kesukaran buat BN berhadapan dengan pengundi pada PRU nanti.
Beberapa hujah yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Temerloh itu sememangnya kena pada tempat dan masanya. Siapalah mereka itu untuk mengkritik pengundi-pengundi yang tidak mahu mengundi kepada BN? Apakah yang akan diperolehi sekiranya pendekatan tersebut dipraktikkan?
Maaf cakap, pendekatan yang bersifat konfrontasi ini hanya akan membuatkan lebih ramai pengundi terus menjauhi mahupun menyokong parti yang dimaksudkan. Dalam konteks hubungan pengundi-pemimpin, perlu ada perasaan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Bermakna, pemimpin politik harus menghormati pengundi sebagai individu yang menyerahkan kepercayaan kuasa mentadbir negara kepada mereka. Mandat kepada pemimpin-pemimpin politik wajar dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Begitulah juga sebaliknya dengan pengundi terhadap pemimpin mereka.
Dalam usaha meraih sokongan pengundi, parti-parti politik wajar mengikis sikap talam dua muka mereka. Jangan sesekali hanya menampilkan muka semasa musim pilihan raya walhal sepanjang tempoh lima tahun tidak kelihatan langsung di mata pengundi.
Datuk Saifuddin juga tepat untuk mengatakan bahawa dalam sistem demokrasi, adalah hak pengundi untuk memilih parti politik yang disukainya. Ini kerana dalam kerangka demokrasi, tidak ada hukum-hakamnya yang mewajibkan seseorang pengundi untuk menyokong parti A atau B.
Sesebuah parti politik tak kiralah kerajaan ataupun pembangkang tidak boleh untuk menyuruh pengundi menyokong mereka secara membuta-tuli tanpa mengambil kira faktor-faktor tertentu. Sokongan yang diperlukan itu wajar diraih, bukannya diberi secara percuma.
Di masa yang sama, parti-parti politik haruslah menerima hakikat bahawa senario sebenar di luar sana sudah pun berubah. Ledakan informasi dan teknologi maklumat yang kian canggih telah menjadikan pengundi sekarang lebih peka dan kritis dalam menilai sesuatu berita yang disajikan.  50 tahun lalu, keadaan sedemikian masih boleh diguna pakai tetapi kini pendekatan berbeza diperlukan untuk mendekati pengundi.
Keengganan pengundi Tionghoa sebagai contohnya untuk menyokong BN dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, sudah pasti mempunyai sebab-musababnya. Walaupun jumlah pengundi Tionghoa yang kembali ke pangkuan BN masih perlahan, itu tidak bermakna mereka harus cepat melatah dan melupakan terus sokongan masyarakat Tionghoa. Perlu diingat bahawa masyarakat Tionghoa merupakan penyokong kuat kepada kerajaan seperti yang berlaku pada pilihan raya umum 1995, 1999 dan 2004.
Secara mendalamnya, keadaan ini boleh disamakan dengan seorang jurujual yang ingin memasarkan produknya agar ia dibeli oleh pengguna. Dari perspektif perniagaan, jurujual wajar mengetengahkan kebaikan atau keistimewaan yang ada pada produk tersebut sehingga ia patut dibeli oleh pengguna. Tetapi jika jurujual gagal memujuk pengguna berbuat demikian, maka macam mana mereka boleh pasarkan produk mereka (parti politik serta manifesto) kepada pengundi?
Sesungguhnya, kenyataan berani oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tidaklah wajar dilihat dari konteks yang sempit.  Gagal atau jayanya meraih sokongan pengundi adalah resam persaingan. Seharusnya keadaan ini diterima dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.
Situasi yang tidak memihak ini tidak wajar diratapi sebaliknya diubah menjadi satu kelebihan sekiranya parti-parti politik benar-benar tahu untuk mencanang dan mempraktikkan strategi mereka dengan sebaik mungkin.
Adalah penting untuk membentuk satu perasaan saling percaya-mempercayai dengan pengundi jika parti-parti politik inginkan sokongan. Lagipun, pengundi adalah “kingmakers” yang sebenarnya dalam PRU bukannya politikus.  Undi mereka mampu menentukan jatuh bangunnya seseorang politikus atau parti politik.
Natijahnya, mereka tidak berhak untuk marah seandainya tidak disokong. Ini kerana berkemungkinan besar pihak-pihak tadi mempunyai kepincangan yang pada pandangan pengundi perlu diperbetulkan terlebih dahulu. Itulah indahnya demokrasi. Pengundi tidak terikat dengan sebarang perjanjian untuk menyokong mana-mana pihak.
Percayalah pemimpin dan parti politik yang jujur, ikhlas dan komited kepada perjuangan akan senantiasa disokong rakyat manakala mereka yang bongkak dan bersikap talam dua muka akan ditolak.
Lihatlah situasi semasa ini dari perspektif jangka panjang. Jangan sesebuah parti politik itu menang pertempuran tetapi kalah dalam perang yang besar nanti.

No comments: