Gelaran 'Temenggong' Tengku Fakhry ditarik
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V menarik balik pelantikan dan penganugerahan gelaran ‘Temenggong’ dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) yang ditauliahkan kepada adindanya, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra berkuatkuasa hari ini.Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias pada satu sidang akhbar di pejabatnya di Kota Bharu setelah surat pemakluman itu diserahkan kepada kakitangan Istana Mahkota, Kubang Kerian di Kota Bharu, 10 pagi tadi.
Mohd Aiseri berkata, Sultan Muhammad Ke-V turut menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) (Al-Muhammadi) yang dianugerahkan sebelum ini kepada Tengku Muhamad Fakhry (kiri).
"Penarikan telah dimaklumkan kepada Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini melalui surat kepada beliau yang dialamatkan di Istana Mahkota, Kubang Kerian,” katanya.
Tengku Muhammad Fakhry Petra merupakan anakanda ketiga kepada Sultan Ismail Petra manakala Sultan Muhammad Ke-V adalah yang sulung.
- Bernama
No comments:
Post a Comment