Posted on Sunday, July 12 @ 22:10:16 PDT by TokBatin
Petikan Siasah Daily
KOTA BHARU, 13 Julai: Semua kakitangan kerajaan negeri, Persekutuan dan swasta yang bertugas di negeri ini mendapat ‘cuti am’, esok 14 Julai 2009 yang diambil atas ‘Cuti Peristiwa’.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengumumkan perkara itu di pejabatnya kira-kira pukul 9.15 pagi tadi.
“Setelah menghalusi dan mempertimbangkan keadaan hari pembuangan undi pilihan raya kecil Manek Urai yang barangkali dilihat sedikit tidak cermat, yang jatuhnya pada hari bekerja dan boleh menimbulkan banyak kesulitan, maka bersifat simpati kepada para pengundi dan anggota keluarga terlibat, saya bercadang untuk mengistiharkan 14 Julai sebagai cuti am bagi seluruh negeri Kelantan,”ujarnya lagi.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah membuat perkara yang sama di negeri itu dengan mengisytiharkan cuti pada hari pilihan raya kecil Penanti kerana ia telah jatuh pada hari bekerja.
Pengundi Manek Urai menghadapi masalah untuk pergi mengundi apabila hari bekerja (Selasa) dan pertengahan bulan (14 Julai) dipilih sebagai hari mengundi.
Lebih 2,500 pengundi kawasan itu pula berada di luar kawasan termasuk di luar dari negeri Kelantan.
Siasah sebelum ini menjadikan berita muka depannya tentang kecemasan jentera PAS kerana ramai pengundi di sini berada di luar kawasan.
Menurut Nik Aziz, walaupun pilihan raya hanya diadakan di Dun Manek Urai, tetapi terdapat ramai juga pengundi yang berada di luar Kelantan, termasuk luar jajahan disamping.
“Lagipun ada juga pengundi di Dun Manek Urai terdiri dari pegawai kerajaan, oleh yang demikian bagi mengurangkan kesulitan mereka, kita mengisytiharkan cuti tersebut."
Sambungnya lagi, tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan hari pengundian jatuh pada hari bekerja begitu pelik berbanding sebelum ini pilihan raya diadakan pada hari Sabtu.
“Saya pun tak tahu kenapa SPR buat cuti pada hari bekerja dan bukannya hari Sabtu sebagaimana biasa,”ujarnya lagi.
Menyentuh tentang cuti am itu bakal menjadi rungutan khususnya bagi pihak swasta, beliau berkata “Ya lah takkan lah pihak majikan nak kira untungnya sahaja."
No comments:
Post a Comment