Raja Ahmad, Hamdi dan Ahamad Pakeh ikut jejak langkah Nasharudin?
SEBAIK sahaja Datuk Nasharudin Hashim mencatatkan kejutan terbesar apabila menjadi Adun pertama BN menyertai PKR, salah satu rangkaian parti dalam Pakatan Rakyat kelmarin, kini timbul pula desas desus terbaru bahawa Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Omar, Adun Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar dan Adun Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam dijangka mengikut jejak langkah Nasharudin menyertai barisan Pakatan Rakyat yang kini membentuk kerajaan negeri Perak.
Andai khabar yang bertiup kencang ini menjadi realiti, ia sekaligus menjawab dakwaan Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin yang mengatakan terdapat tiga lagi Adun BN dijangka menyertai Pakatan Rakyat tidak lama lagi.
Menteri Besar Perak ketika mengulas perkara itu selepas kira-kira 24 jam Nasharudin mengumumkan penyertaan ke PKR berkata, ketiga-tiga Adun itu ialah dari Umno dan pihaknya masih berurusan dan perbincangan terus berjalan. Hakikatnya, kami mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam Pakatan Rakyat dan kami terbuka untuk menerima mereka.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dikatakan mahu menambah lebih ramai pemimpin Melayu dalam parti itu dalam usaha menarik perhatian orang Melayu untuk menyokong matlamat perjuangannya untuk menumbangkan BN pada pilihan raya kebangsaan akan datang.
Dalam perkembangan yang sama, Raja Ahmad Zainuddin, Ahamad, Hamdi atau Nasharudin difahamkan masing-masing turut menerima 'isyarat' akan dilantik menjadi menteri besar yang baru menggantikan Nizar dalam usaha memantapkan pentadbiran kerajaan negeri. Setakat ini, belum ada kedengaran dari kenyataan mana-mana pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat terutama PKR berhubung perkara ini dan masih menjadi tanda tanya. Dengan penyertaan Nasharudin ditambah tiga lagi Adun Umno itu akan membolehkan parti itu bertambah gah dan tidak mustahil kepemimpinan PKR negeri sambil campurtangan pimpinan tertingginya akan mengemukakan permohonan untuk jawatan tertinggi kerajaan negeri itu.
Pada pilihan raya umum ke-12 lalu, Pakatan Rakyat menerusi jalinan kerjasama DAP , PKR dan PAS berjaya membentuk kerajaan negeri apabila berjaya memenangi 31 kerusi berbanding BN 28 kerusi. DAP merupakan parti paling banyak memenangi kerusi dikalangan gabungan Pakatan Rakyat iaitu sebanyak 18 kerusi diikuti PKR (7) dan PAS (6).
{Tak terbayang melihat raut wajah Tajol Rosli dan Najib Razak apabila bakal menerima khabar paling menggemparkan walaupun ia belum disahihkan. Dalam politik, kejutan demi kejutan adalah lumrah dan perkara biasa untuk diharungi mana-mana ahli politik. Cuma jika kerap sangat menerima bermacam-macam khabar sedemikian, nescaya ICU kesudahannya. Kepada Najib dan Tajol Rosli, terimalah kenyataan betapa Umno dan BN sudah tidak seteguh dulu dan keputusan pilihanraya yang berterusan memihak Pakatan Rakyat tidak mustahil akan menghumban parti yang telah lama memerintah negara ke dasar lautan yang memungkinkan komponen parti itu akan terbenam buat selama-lamanya}
No comments:
Post a Comment