Peristiwa luar biasa ini paling penting dalam kalendar Islam kerana menandakan seseorang itu Islam atau kufur.
Oleh Nurul Fatimah Zahara Mohammad RadziPeristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, tahun ke-12 dari masa kenabian Nabi Muhammad s.a.w. Ianya juga merupakan peristiwa penting yang dirayakan setiap tahun oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Tarikh ini bersamaan 662M iaitu ketika Nabi berumur 52 tahun, setahun sebelum penghijrahan Nabi dari Mekah ke Madinah.
Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dengan menaiki burak bermula dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Manakala Mikraj pula membawa maksud naiknya Nabi s.a.w ke langit dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.
Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah al-Israk ayat 1 yang bermaksud “Maha suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Para ulama’ hadis, ulama’ feqah dan ulama’ tafsir secara umum menegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda s.a.w sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan ruh Nabi s.a.w. Sebagaimana difahami daripada firman
Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan, yang bermaksud memperjalankan hambaNya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang mana meliputi batang tubuh dan ruhnya serentak bukannya ruhnya sahaja.
Mukjizatnya peristiwa ini jelas tergambar dari masa perjalanan yang hanya selama 3/4 malam iaitu dari jam 6 petang hingga 6 pagi sahaja Nabi sudah kembali semula ke Mekah sebelum terbit fajar. Baginda menunggang Buraq bersama Malaikat Jibril dari Masjid al- Haram ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.
Anugerah Allah SWT
Peristiwa luar biasa ini paling penting dalam kalendar Islam kerana menandakan seseorang itu Islam atau kufur. Ia sebuah mukjizat dari Allah S.W.T bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak pernah berlaku ke atas rasul dan nabi sebelumnya. Hanya Nabi Muhammad s.a.w. sajalah yang diberikan anugerah dan kehormatan oleh Allah S.W.T untuk melakukannya sebagai tanda betapa tingginya penghargaan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Sepanjang perjalanan Israk Rasulullah s.a.w yang ditemani Malaikat Jibril a.s telah melihat pelbagai peristiwa aneh. Antaranya Nabi melihat satu kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru, keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah kaum yang berjihad fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
Nabi telah diperlihatkan sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). Nabi turut melihat sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
Selain itu, Nabi melihat satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail, itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami. Turut kelihatan seorang lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibril, itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
Ketika Nabi diIsrakkan, Nabi telah diberi gambaran oleh Allah akan keadaan umur dunia yang sangat tua melalui keadaan seorang perempuan bongkok tiga yang menahan Baginda untuk bertanyakan sesuatu. Pelbagai peristiwa aneh lain yang berlaku di malam Israk Mikraj ini yang banyak memberi maksud tersurat dan tersirat di sebaliknya.
Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah kita sebagai umat Islam hendaklah menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya telah memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan- Nya.